Thursday, October 17, 2019

sastera rakyat

Pengenalan
Mesti ramai yang pernah mendengar tentang Sastera Rakyat atau ada yang masih samar-samar tentang sastera yang juga dikenali sebagai folklore. Pada dasarnya definisi kesusasteraan Melayu selalu dikaitkan dengan asal-usul perkataan kesusateraan itu sendiri. Perkataan "sastera" berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu  castra yang juga disebut syastra yang bererti kitab suci. Susastra bermakna seni sastera atau seni bahasa, dan secara amnya dimaksudkan persuratan.

Menurut Hashim Awang, sastera adalah ciptaan atau karya seni yang disampaikan melalui bahasa. Hasil seni (karya tulisan) dalam bentuk prosa atau puisi yang mempunyai  cici-ciri keistimewaan yang tersendiri bersandar pada zaman peradaban dan martabat sesuatu  bangsa itu dapat dilihat melalui karya tradisional atau klasik yang dimiliki termasuk bangsa Melayu yang tidak terkecuali dalam hal ini. Era tradisional merujuk kepda zaman yang nilai yang wujud sebelum teknologi seperti adanya penerbitan (sastera lisan) manakala era moden pula merujuk kepada selepas teknologi penulisan dan boleh dibuktikan sebagai teks. Karya-karya yang dihasilkan dalam bentuk cerita ditulis dalam pelbagai genre seperti cerita rakyat, panji, epik, hikayat dan sebagainya.

Apa itu sastera rakyat?
Pada awal abad ke-19, beberapa pengkaji yang terdiri daripada pegawai pentadbir Inggeris telah memberikan perhatian terhadap sastera rakyat, khususnya berbentuk cerita. Tumpuan ini dbuat kerana mereka menyedari bahawa salah satu fungsi sastera rakyat ialah mengungkapkan pemikiran masyarakat yang melahirkannya. Selepas kemerdekaan pada sekitar tahun 1960-an, pengkaji-pengkaji Melayu mula memberi perhatian terhadap Sastera Rakya. Dewan Bahasa dan Pustaka serta Universiti Malaya telah melakukan pengumpulan dan penerbitan hasil sastera.

Istilah 'rakyat' berkaitan dengan perkataan folk atau volk yang pada umumnya dapat diertikan sebagai kelompok orang yang memiliki ciri-ciri pergerakan fizik ataupun kebudayaan sehingga dapat dibezakan dengan kelompok-kelompok yang lain. Namun begitu, terdapat sarjana yang menyempitkan pengertian ini dalam hubungannya dengan sastera. Menurut mereka folk atau volk ialah satu kumpulan masyarakat manusia yang mungkin masyarakat tetutup, sederhana tamadunnya, tradisional, kukuh pegangan budaya lama dan mungkin pula terdiri daripada satu kelompok.

Perbahasan umum
Menurut Harun Piah, Sastera Rakyat dapat dibahagikan kepada dua bentuk iaitu sastera bentuk cerita (kisah dan naratif) yang terdiri daripada cerita rakyatseperti cerita penglipur lara, cerita teladan, cerita binatang, jenaka, mitos dan lagenda. Manakala sastera berbentuk bukan cerita pula (bukan kisah atau bukan naratif) sebahagian besarnya terdiri daripada nyanyian rakyat, ungkapan adat, teka-teki, pantun dan gurindam. Cerita (kisah atau naratif) ini terdapat perbezaan masing-masing mengikut kepercayaan, latar masa dan tempat, serta sifat dan pelaku utama.

Menurut pendapat daripada sasterawan Indonesia Danandjaja, beliau menyatakan Sastera Rakyat merupakan tradisi lisan Indonesia. Menurut beliau juga, terdapat banyak ciri persamaan antara Sastera Rakyat Malaysia dan Sastera Rakyat Indonesia.

Definisi literal/ konseptual
Literal- sesuatu yang menurut huruf; perkataan benar atau persamaan.

Konseptual- sesuatu yang disusun secra terperinci seperti mempunyai teori yang kuat, latar belakang yang jelas dan tujuan yang jelas.

Isi dan hujah
Sastera Rakyat mengikut Kesusasteraan Melayu Tradisional ialah kesusasteraan yang lahir dalam kalangan rakyat. Rakyat di masa lampau yang merupakan salah satu kehidupan warisan dan kebudayaan masyarakat pada zaman dahulu. Sebagai contoh, cerita rakyat yang wujud dalam kalangan rakyat itu sendiri yang dijadikan sebagai hiburan. Kebiasannya, cerita rakyat ini diceritakan kepada anak-anak atau cucu agar cerita pada masa lampau menjadi satu warisan yang perlu kita cipta jaga.

Fungsi cerita rakyat:
-hiburan
-alat pendidikan moral
-membiasakan masyarakat dengan keindahan sastera itu sendiri

Ciri-ciri cerita rakyat:
-lisan
-mengalami perubahan (berubah ceritanya mengikut zaman dan kadang-kadang ada tokok tambah dari cerita sebenar)
-milik bersama (diciptakan dalam kalangan rakyat)
-mempunyai unsur keindahan (bahasa dan kata)

Kesimpulan
Sastera rakyat merupakan satu warisan yang sehingga kini masih wujud lagi. Tambahan pula, cerita rakyat ini juga telah diterbitkan dalam bentuk buku,filem dan radio. Sebagai penerus bangsa negara ini, kita sewajarnya menjaga warisan ini agar generasi-generasi akan datang dapat mengetahuinya.

No comments:

Post a Comment